Surat untuk Hafiz

Hafiz,
Mami percaya abang adalah seorang anak yang baik, berbudi pekerti mulia dan jujur.  Selama ini, tidak pernah lekang, mami memanjatkan doa supaya abang tidak mengikut jejak langkah budak-budak nakal dan menjadi anak yang durhaka.  Tetapi, abang, apa yang Mami rasa sekarang adalah satu kesedihan.  Kesedihan yang panjang yang tidak mungkin dapat dikurangkan.

Kenapa abang, kenapa?  Kenapa abang ponteng sekolah?? Pada hari Mami dapat tahu, abang ponteng sekolah, Mami jadi kecewa sangat-sangat.  Puas Mami bertanya, macam-macam alasan yang abang beri.  Jadi, Mami telah memarahi abang.  Apa yang Mami lakukan adalah semata-mata kerana Mami sangat-sangat kasih pada abang.  Mami minta maaf kalau Mami telah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.  Dalam situasi begitu, Mami percaya, Ustazah pun pasti akan hilang kesabaran juga.  Terutama, kalau dapat anak macam abang yang suka memintas cakap orang tua.  Mami sudah cuba untuk bertenang.  Sudah cuba untuk tidak memarahi abang, tetapi ini adalah kali kedua abang ditangkap oleh Achu.  Ya, mungkin Tok agak lurus, dan percaya saja bila abang beritahu, sekolah cuti kerana menyambut harijadi gurubesar.  Nasib baik, Achu tidak semudah itu untuk abang auta.

Hafiz,
Abang sudah lupakah semua perkara yang kita lalui bersama-sama sejak Mami dan Babah berpisah??  Adik Aina masih kecil ketika itu dan tidak mengerti apa-apa tetapi abang sudah besar.  Sudah mengerti.  Jadi, kenapa harus abang jadi begini.  Bukankah kita bertiga, sudah berjanji untuk sama-sama memperbaiki kehidupan kita?

Mami sedih bila mami membaca nota didalam telefon abang tadi.  Abang tulis disitu " Ya Allah, ringankan penderitaan yang sedang aku tanggung ini.  Aku berjanji akan berubah dan menjadi seperti yang ibu aku mahu.  Aku mahu tinggal bersama ibuku.  Aku mahu, ibuku tahu aku sangat sedih melihat dia seorang diri mencari rezeki.  Ringankanlah penderitaan ini ya Allah."  Abang, sekarang baru Mami faham, kenapa abang beria-ia mahu bekerja tempoh hari.  Abang baru berusia 13 tahun.  Abang masih kecil.  Mami faham apa yang abang maksudkan.  Mami faham, anakku.  Apakan daya.  Kita harus tempuh semua ini dengan tabah.  Kita harus cekalkan semangat dan teruskan usaha.  Tidak mudah untuk berjaya, abang. Mami percaya, adik Aina juga pasti berperasaan yang sama.  Mami mahu abang berjaya didalam pelajaran.  Kelak, itu akan menjadi hadiah tidak ternilai untuk seorang ibu.  Biarlah Mami seorang mencari rezeki, itu sudah menjadi tanggungjawab Mami.

Mami sudah berjanji dengan abang dan adik.  Mami akan kotakan janji Mami itu.  Selesai 'Study' Mami nanti, kita bertiga akan bersama semula.  Jadi, sabarlah anakku.  Sabarlah untuk seketika, ya.  Abang jangan merasa bersalah atau merasa sedih.  Mami percaya, Allah bersama kita.

Abang, jangan lupa solat. 

Comments

Popular Posts