Mak... Mak dulu seorang Guru Kemas.  Bab masak memasak sudah menjadi kepakaran mak.  Begitu juga dengan menjahit, mengubah bunga dan semua perkara yang sewaktu dengannya.  Namun begitu, mak lebih suka memasak.  Pandainya mak dalam bidang memasak, hingga mak pernah ditemuramah oleh pihak stesen radio sewaktu mak mengikut abah bekerja di Sabah.  Aku diwaktu itu masih kecil.  Belum mengerti apa-apa.  Umurku baru sekitar 7 atau 8 tahun.  Namun, begitu aku sudah tahu, bila mak memasak apa saja makanan itu pasti sedap.  Mak juga beberapa kali dijemput menjadi pengadil didalam pertandingan memasak.  Itupun, setelah mak tidak lagi dibenarkan bertanding, kerana setiap kali mak masuk bertanding, mak pasti menang.  Dirumahku, waktu itu, penuh dengan pinggan mangkuk yang cantik-cantik, disusun oleh emak didalam almari.  Semuanya hasil kemenangan kerana memasuki pertandingan.

Pulang ke semenanjung diawal 80an, Mak ikut berniaga bersama TokWan.  Datukku, yang pada waktu memiliki sebuah warung makan menjual nasi lemak pada waktu pagi sahaja, dan setelah beberapa lama, datukku menjadikan emak sebagai pengganti.  Diawal tahun 90an, mak memulakan kerjaya sebagai peniaga.   Warung TokWan menjual nasi lemak emak pelbagaikan dan waktu jualan juga dilanjutkan hingga kepetang.  Perniagaan emak sungguh maju apatah lagi dibantu oleh Arwah adikku Nazrul Nekmat.  Namun, setelah pemergian adikku Nekmat diusia 23 tahun hanya setelah berkahwin selama 32 hari, mak bagai hilang semangat untuk terus berniaga.  Namun, Mak gagahi jua kerana tidak mahu berpeluk tubuh dan menangis setiap hari mengenangkan adikku.  Dengan dibantu isteri adikku, mak teruskan berniaga.  Namun, panas juga tidak sampai kepetang.  Bekas adik iparku bertemu pula dengan jodohnya dan mak sekali lagi hilang pembantu.  Aku bekerja dan tidak tinggal bersama Mak, aku hanya membantu diwaktu lapangku apabila pulang kekampung, itupun jika tidak sibuk menjaga anak-anak yang masih kecil.  Adikku yang tinggal seorang itu, masih sekolah.  Mak, kemudian nekad untuk terus berniaga walaupun seorang diri dengan dibantu oleh pekerja yang digaji.  Pahit manis Mak berniaga, silih berganti namun, aku pasti mak puas kerana telah mempunyai rumah dan sedikit harta hasil dari berniaga.  Waktu silih berganti dan bulan ketahun dan mak kini sudah berhenti dari berniaga.  Mak yang pandai memasak dan menjadi pakar masakan, telah menjadikan bakatnya sebagai karier.  Itulah perkara yang sangat aku kagum dengan Mak.

Oleh yang demikian, aku sebagai anak perempuan Mak, kini berasa malu.  Kenapa.. ya, kenapa.. aku diusia awal 40an begini, masih belum pandai memasak seperti emak.  Adakah kerana tuntutan kerjayaku? atau, aku sebenarnya menggunakan alasan itu untuk tidak memasak atau belajar memasak hingga mungkin semangatku hilang begitu saja.  Arrgghh..!!! mungkin juga.

Mak, kini sudah dipanjat usia, mencecah 65 tahun.  Sudah tidak berdaya memasak seperti dulu lagi dan kini sering sakit-sakit.  Mahu tidak mahu, akulah mengambil alih tugas mak didapur.  Namun, dari terpaksa kini sudah menjadi suka.  Apatah lagi, aku kini tinggal bersama Mak. In Shaa Allah.  Aku akan cuba sedaya upayaku.  Menjadikan memasak sebagai hobi, seperti mana Mak juga.  Anak-anakku yang telah dewasa, sering mengatakan aku pandai memasak seperti Mak.  Walaupun sukar mempercayai pujian ikhlas itu (hehehe..) tetapi aku akur, sebagai ibu, itulah tugasku.

Anak-anakku dan suamiku gembira apabila aku masuk dapur.  Dan, hari ini, Mak mengangkat ibu jari memuji masakan Sayur sawi bersama fishball yang Mak minta aku masakkan.  Ya, ringkas sahaja, tetapi aku memasak dengan kasih sayang untuk Mak.  Dan bagaikan memberi semangat dan dorongan, aku semakin rasa teruja dan bahagia.  Semoga, Allah memberi kelapangan dan waktu untukku balas budi Mak.  In Shaa Allah.  SAYANG MAK.













Comments

Popular Posts